Thursday, May 15, 2008

Al-Awaiq- sambungan Bab 1

Pemimpin Mendahului Memberi Pandangan.

Tidak diragui bahawa di sana terdapat kewajiban yang saling bertindih antara dua penjuru: Qiadah mendahului dan duah mengikuti.

Qiadah mestilah sentiasa mendahului kumpulan duah dalam mengemukakan ijtihad bagi menangani perkembangan suasana dan menyelaraskan segala pengajaran yang diambil daripada pengalaman dakwah.

Sesungguhnya sesiapa yang tidak dibantu dengan kefahaman yang jelas akan sentiasa berlegar dalam kesilapan dan di akan berpusing tempat yang sama. Ketika itu tidak berguna untuk dimarahi melainkan akan menambahkan kesusahan kepada mereka.

Begitu juga qiadah mestilah segera memberi tugas kepada semua duah mengikut perkembangan kemampuan mereka, perkembangan cita-cita dan keluasan pemikiran mereka. Sebaliknya sesiapa yang tidak digunakan tenaga mereka kepada kebaikan akan menghabiskannya sia-sia atau tenaga-tenaga itu berkumpul dan melemahkan kamu.

Semuanya ini merupakan erti kepada kesempurnaan nasihat dan usaha yang wajib disempurnakan oleh sekelian qiadah sebagaimana sabda rasulullah saw:

Maksudnya: "´ Tidak seorangpun daripada pemimpin yang memimpin urusan umat Islam kemudia beliau tidak berusaha bagi kepentingan mereka dan menasihati mereka melainkan beliau tidak akan memasuki syurga bersama mereka" Sahih Muslim.

Ia merupakan tenaga yang besar yang terdiri daripada sekelian generasi duah, sama ada digunakan sebaiknya atau ia akan dimusnahkan oleh fitnah dan musuh.

Ia bagaikan aliran sungai sekiranya kamu mengarahkan alirannya dan memandu di sisinya dia akan mengikutimu.

Demikianlah keadaan tenaga yang tidak digunakan dan terkurung diibaratkan sebagai aliran sungai yang melimpah. Ia akan menjadi kebaikan kepada sesiapa yang bijak membuat aliran dan memanfaatkannya dan akan menjadi mudarat kepada sesiapa yang memmbiarkannya. Setiap generasi duah ialah ibarat aliran sungai maka ditangan kitalah sama ada hendak menjadikannya bermanfaat atau sebaliknya.

Pergeseran Rumit.

Seolah-olah inilah rahsia yang tersembunyi dalam kenyataan al Quran al Karim terhadap perpecahan umat Islam dan menjadikan persengketaan di antara mereka apabila mereka meninggalkan jihad.

Kerana dengan jihad semua tenaga digunakan kepada kebaikan sebaliknya tenaga ini digunakan untuk merosakkan dirinya apabila ia tidak digunakan.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: " Sekiranya kamu tidak berperang nescaya kamu akan dikurniakan azab yang pedih dan Dia menggantikan kamu dengan kaum yang lain"

Ayat ini memberikan sindiran yang jelas terhadap pengertian tadi.

Imam Ibnu Taimiyah dalam mentafsirkan ayat ini berkata:

" Kemungkinan azab itu diturunkan daripada Allah dan kemungkinan azab itu dengan tangan manusia sendiri. Apabila manusia meninggalkan jihad di jalan Allah, kemungkinan Allah akan menguji mereka dengan menjadikan permusuhan dikalangan mereka sehingga mereka terjerumus kedalam fitnah sebagaimana yang berlaku. Kerana manusia apabila sibuk dengan berjihad di jalan Allah, Allah akan menyatukan di antara hati-hati mereka dan membina kasih-sayang antara mereka dan dijadikan kepedihan kepada musuh Allah dan musuh mereka. Apabila mereka tidak berangkat ke jalan Allah Allah akan mengazab mereka dengan menjadikan mereka berpecah-belah dan bermusuhan sesama sendiri."

Perumpamaan lama ada berkata: " Tentera yang tidak mepunyai kerja pandai melakukan huru-hara".

Bisikan syaitan sentiasa berlaku di ruang yang sejuk. Sekiranya Allah telah menyelamatkan orang-orang yang mendirikan solat daripada menyebah syaitan tetapi Allah swt telah meninggalkan satu ruang kepadanya untuk melakukan bisikan sebagaimana sabda rasulullah saw:

Maksudnya: " Sesungguhnya syaitan telah kecewa daripada disembah oleh orang yang bersembahyang di bumi Arab tetapi tidak kecewa untuk menggoda mereka".

Syaitan tidak berkata kepada mereka: Ini adalah godaan dan aku adalah syaitan tetapi beliau akan memakai pakaian ahli zuhud dan bercakap dengan bahasa penasihat yang amanah sehingga apabila mereka tertipu, salah sangka dan berpecah dia akan meninggalkan mereka dengan ketawa sedangkan mereka menangis.

Demikianlah cara syaitan sebagaimana al Ghazali berkata: " Dia mencadangkan keburukan ditempat yang baik dan untuk mebezakannya amatlah rumit maka kebanyakan manusia binasa kerananya”. Ihya’ Ulumuddin.

Tiada Kebaikan Pada Ketaatan Nafsu.

Syaitan tidak akan senang dengan usaha seorang duah untuk memperbaharui keazamannya untuk menunaikan kewajiban taat. Adalah menjadi kewajibannya untuk melaksanakan usaha ini kerana ke atasnya ditujukan arahan taat. Syaitan akan menimbulkan sangkaan kepadanya bahawa dengan ketaatannya itu akan menghilangkan kebenaran yang menjadi keyakinannya.

Sesungguhnya sesuatu binaan jamaah, tentera dan negara tertegak di atas penyerahan majoriti kepada kelompok kecil yang melukis perencanaan dan menerajui sama ada Islam atau kafir pada kurun yang pertama atau akhirnya.

Rencana yang terbaru yang telah kami baca ialah syarat kejayaan tentera yang ditulis oleh Montageri :

" Sesungguhnya aku telah memsukkan satu unsur penting dalam sistem kerja, bahawa segala perintah pimpinan tidak boleh disanggah oleh pegawai-pegawai rendah sebagaimana aku lihat dibanyak keadaan, kerana apabila banyak cadangan sudah pasti akan menggagalkan tentera kerana mereka tidak akan meyakini ketepatan satu-satu cadangan”.

Banyak cadangan akan menyebabkan perselisihan, perdebatan, membazirkan waktu, perselisihan hati, menghilangkan semangat, lemah dan ragu-ragu.

Ketika itu ketaatan akan mengikut keinginan, mereka mentaati terhadap perkara yang bersesuaian dengan pendapat mereka dan perkara itu adalah mudah bagi mereka. Mereka tidak mentaati terhadap perkara yang menyalahi pendapat mereka dan perkara itu menjadi berat kepada mereka.

Mereka segera mentaati terhadap perkara yang mereka suka dan lembab mentaati terhadap perkara yang mereka tidak suka. Apabila mereka diuji terhadap perkara yang mereka tidak suka sedangkan ianya mempunyai manfaat kepada jamaah, mereka memohon perlepasan dan berpaling atau mereka mentaati dengan rasa benci atau melaksanakannya dengan rasa marah.

Sesungguhnya kewajipan hendaklah ditunaikan sama ada dalam keadaan cergas atau malas. Hendaklah kamu melaksanakan perkara yang kamu sukai atau tidak dan kamu menerimanya sebagai suatu `azimah' yang tiada `rukhsah', segera tanpa ragu-ragu, bersungguh-sungguh dengan tiada luntur sehingga tidak berlaku ragu-ragu kepada pendapat atau mengikut hawa nafsu. Ianya merupakan kewajiban yang diterima dengan keredaan, membawanya kehadapan, memikulnya dengan kesabaran, ianya manis pada sisimu walaupun pahit, ianya bermanfaat walaupun memudaratkan kamu.

Demikianlah seorang individu atau kelompok melaksanakan kewajiban mereka tanpa memohon keuzuran sehingga menuanikan kewajiban ini merupakan satu cara hidup yang tidak dapat dielakkan lagi dan telah menjadi keazaman yang tidak akan padam.

Demikianlah ukuran kebenaran pada seseorang individu dan neraca keikhlasan sesuatu jamaah)

Taat yang mengikut hawa nafsu adalah peninggalan akhlak bani Israil yang dijauhi oleh orang yang beriman daripadanya. Mereka telah meminta untuk berperang di jalan Allah,

" .. maka apabila difardukan perang kepada mereka lalu mereka berpaling kecuali sedikit dari kalangan mereka".

( Adalah menjadi sifat khusus kepada bani Israil mereka memungkiri janji, meninggalkan ketaatan, lari daripada tanggungjawab, memecahkan kesatuan dan berpaling daripada kebenaran yang nyata.

Akan tetapi ianya juga merupakan ciri-ciri setiap jamaah yang tidak masak tarbiyah imaniahnya. Ianya merupakan ciri-ciri manusia umum yang tidak akan berubah kecuali dengan tarbiyah imaniah yang sebenar, panjang masanya dan mendalam kesannya. Oleh itu ia merupakan ciri-ciri yang perlu diawasi oleh pihak pimpinan dan mengambilkira di perjalanan dakwah yang berliku ini. Segalanya ialah supaya mereka tidak dikejutkan denganya dan ketika itu permasalahan ini sudah besar. Ciri-ciri sebegini dijangka berlaku daripada kelompok manusia yang belum bebas daripada kekotoran, belum larut kedalam kumpulan iman dan belum dibersihkan daripada kekotoran. ( Al-Dzilal.)

Oleh itu mentarbiyah supaya lahir sifat taat merupakan asas dakwah kita. Imam Al-Syahid telah menjelaskan bahawa jalan kita tertegak atas:

  • ( At Takwin: dengan memilih anasir yang baik bagi memikul bebanan jihad kemudian disatukan mereka kepada sebahagian yang lain.)
  • ( Mereka yang akan diajak kepadanya ialah kumpulan " khusus” tidak akan mencapainya kecuali mereka yang benar-benar bersedia bagi memikul bebanan jihad yang panjang masanya, banyak bebanannya dan tanda yang pertama kepada persediaan ini ialah " ketaatan yang sempurna".)
  • Syiar marhalah ini :( Sentiasa: " perintah dan taat", tanpa ragu- ragu, tanpa bertanya, tanpa teagak-agak dan tanpa merasa serba-salah). (Majmuah Rasail.)

Monday, May 12, 2008

TAK TERLAMBAT - SELAMAT HARI IBU

Untuk ibuku,

Semoga Allah merahmatimu Mak.

Mak,maafkan daku.
Dulu,
Aku mencari ruang didalam hati ini untukmu.
Tapi aku gagal.
Aku gagal membina istana kasih untukmu,
Aku bukanlah anak harapanmu,
Aku anak terbuang,
Aku tahu dulu kau mengarapkan agar umurku tak panjang.
Aku anak terbuang,

Tapi kini aku cuba sedaya upayaku,
Puas aku bermunajat didalam tahajjudku,
Walaupun mataku berkaca dan melimpah kepipi,
Tapi aku tak mampu,
Aku akan balik jumpa mak,
Walaupun tiada rindu dihati.

Ya Allah kau ampuni ibuku,
Sejahterakanlah hidupnya.

Al-Awaiq - Bab Satu

Kumpulan Satu Hati.

Janji yang saling ditepati, itulah perjanjian yang telah diiltizamkan oleh para duah, mereka tidak akan menyendiri dan memisahkan diri daripada saudara mereka yang lain .

Mereka telah mengiklankan janji-janji mereka sejak langkah pertama:

Genggam dalam genggaman,
Maka saksikanlah janji kami,
Tetap dalam barisan,
kemenangan dan kekalahan
.

Sama ada ketika mendapat kemenangan atau kekalahan, duah yang faham tetap akan bergegas melaksanakan janjinya melalui jihad yang penuh kejelasan. Ia merupakan ketaatan yang penuh dengan kesedaran dan tetap hati di dalam barisan tanpa menghiraukan bisikan-bisikan yang tidak berfaedah.

Sebagaimana keimanan kepada syurga mendorong para duah untuk berlumba-lumba di medan jihad, ia juga mendorong mereka untuk berlumba-lumba dalam; melaksanakan ketaatan, berkasih sayang, persaudaraan dan suci hati sesama anggota jamaah. Kesemua mereka ingin menjadi di antara golongan yang menjuarai perlumbaan dan menyertai kumpulan pertama yang memasuki syurga, dengan kesatuan mereka, sebagaimana sabda rasulullah saw:

Maksudnya: " ..tiada perselisihan di antara mereka dan tidak ada saling bermasam muka, hati-hati mereka bagaikan satu”. Riwayat al- Bukhari, 4/143.5

Ketaatan seumpama ini yang diharapkan dapat dicapai oleh kebersihan hati duah dan membawa mereka menyertai kumpulan yang berjaya. Berasaskan daripada keimanan mereka bergerak, dengan asas-asasnya mereka mengambil panduan dan kepadanya rujukan mereka. Ketaatan seumpama ini bukan bagai ketundukan kehinaan seorang rahib dan bukan juga kerana tamak kepada sesuatu kepentingan.

Tetapi ianya merupakan ketaatan Islamiah yang tersendiri, bukan seperti ketaatan lain. Para duah menganggapinya sebagai salah satu rukun keimanan mereka. Tidak akan sempurna keimanan tanpa ketaatan malah mereka mengira tanpa ketaatan berkuranglah iman mereka.

‘Mereka adalah satu kaum yang melihat adalah menjadi kewajiban membantu pimpinan mereka dan mereka melihat mentaati perintahnya adalah tuntutan iman'.

Lantaran itu membawa mereka akan mengkeji akal mereka apabila berbeza ijtihad dan mengekang hati terhadap seruan keinginan demi menyelamatkan keimanan ini daripada hilang.

Komitmen Yang Menurun dan Hati Yang Bercampur.

Apabila ketaatan ini dikaitkan dengan iman, maka sifatnya seumpama sifat iman itu sendiri yang boleh bertambah dan berkurangan, sebagaimana yang disebut oleh ulama' hadis dan para fukaha'. Sebagaimana keadaan iman, ketaatan seseorang boleh meningkat sehingga ke puncak yang paling tinggi, dari segi keyakinan dan pelaksanaan. Malah kadangkala ketaatan seseorang itu akan menurun.

Orang yang berjaya ialah mereka yang tidak melampau ketika dipuncak ketaatan dan tidak terlanjur apabila daya ketaatannya jatuh; dengan berpandukan sabda rasulullah saw:

Maksudnya: " Setiap amalan ada kemuncaknya, setiap kemuncak akan menurun barang siapa yang menurun kepada sunnahku sesungguhnya dia mendapat petunjuk"

Imam Ahmad.

Kemuncak ialah, mencapai setinggi usaha dan kesungguhan dan memelihara kebaikannya.

Menurun ialah, menangguh-nangguh selepas bersungguh-sungguh, cenderung kepada malas, berdiam diri dan mengutamakan kerehatan.

Dalam lafaz yang lain:

bermaksud:"... barangsiapa yang kemuncaknya kepada sunnahku maka sesungguhnya dia mendapat petunjuk".

Taat juga sebahagian daripada amalan yang mempunyai kemuncak dan penurunan dan gambaran tuntutannya boleh menjadi terang kepada mukmin atau boleh menjadi kabur.

Ketaatan yang tinggi memuncak terikat dengan kemulian sunnah nabi s.a.w. yang menghalangnya daripada tunduk kehinaan, adalah suatu keindahan. Kemudian disempurnakan dengan keindahan lain; iaitu apabila dia memegang kekang keinginan untuk bebas, menahan dan menegah dirinya daripada pergi ke mana dia suka, menahannya daripada tersendiri dan terfitnah yang mengharamkannya daripada pahala amal jamaei seterusnya menghalangnya daripada memasuki syurga bersama kumpulan itu.

Sentiasalah kedua-dua keindahan ini bercahaya sehingga wajah orang beriman yang bersama jamaah ini bagaikan bulan purnama, sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis yang sama.

Oleh itu, sentiasa memeriksa hati merupakan satu kewajiban, supaya seorang mukmin itu mengetahui tangga peningkatan dan kekurangannya, lantas dia memuji Allah atau cepat-cepat merawatinya.

Sebab itulah Al Junaid pernah menyeru dengan katanya: " Lihatlah apa yang mencampuri hatimu ?".

Beliau menamakan percampuran, iaitu perkara yang mengotori dan mengeruhkan kejernihan hati yang menjadikannya tenang pada tempat yang tidak dikehendaki.

Hati yang bercampur dengan kekotoran akan tertipu dan terpedaya. Ia akan memaparkan kepada kamu gambaran yang menipu kamu daripada hakikat. Ia akan melontarkan kamu jatuh ke bumi setelah kamu sampai ke puncak dan ia akan mencuri daripada kamu identiti kumpulan satu hati.

Marilah mengenalinya bersama kami, dalam perjalanan ilmu. Kami akan mencukupi kepada kamu dengan ilmu keburukan kejahilan.

* Kasih Sayang dan Kebersamaan..

Perkara yang membantu kamu mengetahui perkara dengan sebenarnya dan insaf apabila kamu menjadi seorang mujahid. Seorang mujahid adalah seorang yang merdeka dan menolak kehinaan maka dia akan bergerak. Bagi seorang yang merdeka mempunyai sifat dan tabiat iaitu; pertamanya berjalan kearah kemuliaan, sebagaimana dengannya seseorang yang merdeka itu dikenali. Setelah itu ia terhidar daripada sifat perhambaan yang berlebihan.

Kemerdekaan juga seperti yang diisyaratkan oleh imam as Syafie apabila beliau berkata:

" Kemerdekaan ialah sesiapa yang menghargai kasih sayang walau sejenak atau berintima’ bersama mereka yang pernah mengajarkannya walaupun satu lafaz".

Kafilah Dakwah ini telah lama mengajar kamu erti kasih sayang dan mengajar kepada kamu keseluruhan lafaz bukan hanya satu lafaz. Maka sekiranya kamu seorang yang merdeka maka hargailah kasih sayangnya, ikhlaskanlah dirimu untuknya, jauhilah ia daripada fitnah yang sentiasa mengintainya.

Sekiranya `sifat ingin memenangkan pendapat sendiri’ merampas kemerdekaan kamu, terserahlah kepada kamu dengan apa yang kamu pilih.

Tidaklah seorang yang terjerumus ke lembah fitnah, malas, terputus hubungan dengan dakwah dan menukarkan sahabat dengan kawan yang lain melainkan disebabkan kurangnya sifat kemerdekaan pada dirinya dan beliau telah memakai sebahagian daripada pakaian pengabdian kepada dunia.

Begitu juga tidak seorangpun daei yang `sabat' di jalan dakwah, bertambah usaha dan `itsar' melainkan disebabkan oleh sempurnanya erti kemerdekaan, erti kesetiaan , sentiasa menghargai kasih sayang jamaah dan `intima' sebagaimana yang diisyaratkan oleh imam al-Syafie.

Inilah akhlak dan kesucian hati yang kita akan dahulukan sebelum melihat kepada syarat-syarat keilmuan dan kepakaran mengurus. Ketaatan sekelian duah terdahulu kepada pimpinan mereka adalah mengambil kira kesucian hati pemimpin mereka sebelum mereka bertanya mengenai pengalamannya dalam pentadbiran. Seorang penyair berkata:

" Tenanglah duah kepada pimpinan yang sejahtera,
suci hati dan berakhlak mulia.
Diberikan kepadanya sekukuh hati ketaatan,
sebelum digenggamkan perjanjian yang kukuh."

Segalanya kita kehendaki, akhlak dan pengalaman. Tetapi neraca duah dalam meletakkan keutamaan, didahulu dan diakhirkan jauh daripada adat kebiasaan ahli politik. Mereka mengetahui bahawa akhlak itulah ketakwaan dan takwa merupakan pintu kesedaran. Dengan kewujudannya orang yang biasa akan mendapat pengajaran dan denganya akan mengilhamkan kebenaran.

Seterusnya ianya merupakan pendidikan menyeluruh yang menuntut duah yang merdeka agar sentiasa `intima' bersama duah yang mendidik mereka. Berkata syair:

" Sesungguhnya duah mendidik kamu dengan fikrah
Melalui mereka Timur dan Barat mendapat hidayah.
Dalam perberadaban mereka, lahirnya generasi.
Alangkah besarnya nikmat umurmu dengan didikan mereka".

Sesungguhnya Al Quran telah menggesa anda supaya anda membandingkan adab memuliakan murabbi dengan adab orang Islam memuliakan rasulullah s.a.w. dalam firman Allah SWT:

Maksudnya: “ Janganlah kamu memanggil al-rasul sebagaimana kamu memanggil sebahagian kamu”

Mestilah hati dipenuhi dengan penghormatan terhadap rasulillah s.a.w. sehingga anda merasai tenang dengan setiap perkataan dan setiap petunjuknya. Perkara ini merupakan suatu yang penting. Murabbi mestilah memiliki kemuliaan dan pimpinan mestilah meiliki kehaibatan.

Adalah suatu perkara yang berbeza antara murabbi yang mesti bersifat tawadu' dengan mereka melupainya bahawa beliau adalah murabbi kepada mereka sehingga mereka memanggilnya sebagaimana mereka memanggil sebahagian daripada mereka.

Mestilah kekal dijiwa mereka kedudukan murabbi . Beliau berada dikedudukan yang tinggi dijiwa mereka dan mereka malu untuk melampaui batas-batas menghormatinya.) Syed Qutb: Fi Zilal Quran 18/127.

Janganlah kamu berkata: " sifulan sebaya denganku" atau " Dia lewat daripadaku dan tidak mendidikku". Kerana kemungkinan suatu hari dia pernah menasihatumu yang telah menyelamatkan kamu. Kemungkinan generasi baru yang hanya mengenali dakwah pada hari ini telah menggerakkan kamu dengan semangatnya dan mendorong kamu melakukan kebaikan. Segalanya ini merupakan tarbiyah yang menuntut kamu menunaikan kasih sayang. .......bersambung

Thursday, May 8, 2008

Kambingku beranak lagi


Baby cuba nak makan daun sawit

Tiga ekor lagi tengah bunting, di doakan dapatlah kembar


Baby comel berusia 2 minggu


Pada 26/4 aku pergi tengok kambingku di Melaka. Alhamdulillah ada lagi sekor baby kambing baru berusia 2 minggu. Mungkin belum rezeki lagi semua kambingku masih beranak single. Selalunya baka jamnapari ni beranak kembar. Belum rezeki, hanya Dia yang berkuasa menghidup dan mematikan kita hanya mampu berdoa.

Hijrah bermula


Denai damai yang akan dibersihkan dan dibina kolam




Akhirnya siap tinggal sepohon durian dan manggis, tapi seberang jalan ada dusun



Tanah diratakan untuk tapak teratak biru


Akhirnya semuanya tumbang


Pokok durian yang isinya paling sedap akan menyembah bumi


Kerja bermula di pagi 17 April


Pengalaman pertama berurusan dengan orang kampung yang mahu mengambil kesempatan keatas diriku. Aku minta diuruskan untuk mencari jentolak yang boleh membersihkan tapak untuk di bangunkan teratak biru dan keperluan lain. Aku percaya pada mereka, akhirnya aku terima panggilan dari kontrektor yang dilantik mengatakan ada jentera nak tolak tanah tapi dia nak cas aku RM12k setelah dia minta kurang dari 15k. Alangkah terkejutnya aku, takkanlah nak bersih dan ratakan tanah sekangkang kera nak cas sebanyak tu.

Akhirnya aku ambil keputusan untuk balik dan uruskan sendiri. Pada 16 April (tarikh keramat untuk aku dan isteriku), aku pun pulang ke kampung dan book chalet di Maran untuk 2mlm. Elok aku sampai ke tapak, ada orang sedang berbincang untuk tolak tanah di sebelah tanahku utuk ditanam kelapa sawit, kebetulan aku dah tahu tokeynya. Aku pun berunding, belaiu cakap kalau dia buat 2 hari siap dan cas 1hari RM800 aje. Apa lagi terus jadi, besuk boleh mula. Maka semuanya bermula.

Pondok biru sudah awal lagi tidak dapat diselamatkan kerana diserang anai-anai, maklumlah berpuluh tahun ditinggalkan.



Qunut Nazilah

Wednesday, May 7, 2008

Al-Awaiq- Sejambak Mawar Merah

Sesungguhnya jalanraya yang cantik dan luas akan menggairahkan saudara untuk menggunakannya. Daripadanya akan muncul lorong-lorong yang sempit dan selekoh yang tajam. Polis Trafik tidak akan membiarkan saudara memandu kenderaan melaluinya tanpa meletakkan papantanda-papantanda awas berwarna merah dan isyarat-isyarat menandakan tempat merbahaya.

Akan dilukiskan kepada saudara garis tegak ditengah tanda segitiga meminta saudara berjaga-jaga, garis putih melintang ditengah bulatan merah menegah saudara masuk, anak panah patah berpalang merah disebelah anak panah lurus melarang saudara memotong kenderaan yang bergerak di hadapan saudara.

Sesiapa sahaja yang melalui jalan ini dan mematuhi segala tanda-tanda jalan, nescaya beliau akan sampai ketujuannya dengan hati yang tenang, aman dan penuh kegembiraan.

Jalan gerakan amal Islami juga terlalu luas, tetapi keadaannya adalah serupa. Kerana akan terdapat padanya ijtihad-ijtihad yang menyeleweng dan mengikut hawa nafsu di sebelah menyebelahnya. Disekitarnya terdapat lorong-lorong yang sempit, simpang-simpang maut dan halangan-halangan yang membantut perjalanan.

Perasaan cemburu kami terhadap keselamatan saudara menegah kami membiarkan saudara melalui jalan dakwah ini, tanpa kami menerangi jalan saudara dalam barisan yang lurus dengan cahaya yang terang bergemerlapan supaya tersingkap tabir yang melindungi jalan-jalan saudara setelah hilang kegelapan fitnah dan tanpa kami mengingatkan saudara terhadap rintangan-rintangan dan segala lorong-lorong sempit dengan isyarat merah supaya `langkah permulaan' perjalanan saudara selamat.

Tetapi hubungan di antara kita ialah hubungan hati, perasaan yang halus, makna-makna yang sampai kepada saudara dengan kebanggaan dan penuh kelembutan. Maka kami enggan untuk menjadikan isyarat kami berupa garis-garis dan panah, tetapi telah tumbuh di bumi hati kami mawar merah yang membalikkan kelopaknya dengan sinaran jiwa-jiwa mukminin daripada salafus soleh yang bersih dan sinaran ruh para penyair untuk mengingatkan saudara kepada marabahaya di jalan dakwah.

Inilah mawar yang tumbuh ditanahku telah nyata kemerahan dalam larutan hati kami, maka terimalah ia, dengan hati ini lembutkanlah hatimu, maka padaku sekeping hati, dan hati seumpama ini sudah bermadai bagiku.

Sebagaimana telah tumbuh dihati Iqbal sebelum ini dan telahpun dia tinggalkan dengan hadiah syair `al Hijaziah'.

Kami tidak tahu selepas ini, apakah kemerahan pekat yang mewarnai hati kami merupakan merah malu terhadap realiti kebanyakan duah yang kami terlibat bersama mereka. Kerana mereka telah terlalai dengan membiarkan perasaan ingin memenangkan diri sendiri menguasai dirinya daripada neraca syarak ketika berlaku perselisihan faham. Lantaran itu mereka terjerumus kedalam suasana konflik yang menghilangkan peluang, sedangkan kejayaan telah hampir kepada mereka sekiranya mereka bertenang untuk menguji kekuatan sebelum berperang?.

Atau ianya merupakan kemerahan darah yang mengalir menyirami mawarku daripada hati yang telah luka disebabkan penderitaan umat Islam dan fitnah duah tadi di waktu yang menuntut kepada kita kesungguhan yang berlipat ganda supaya sesuai dengan keperluan ?.

Tetapi darah yang mengalir daripada luka ini amat menyakitkanku.Tidak sanggup untuk menahan rintihan sakan kesakitan lantas bahasa kami yang halus bercampur dengan leteran pedas. Semoga rintihan kami akan memecahkan kekerasan hati mereka yang berselisih dan kepanasan marahnya menurun kembali kepada persaudaraan.

Malah tulisan ini merupakan satu pengiktibaran sebagai mencontohi Kamal Abdul Rahim Rasyid dalam sendunya bersama `kumpulan terasing'.

Pada hari dia disakiti oleh luka yang memedihkan, lalu dia menangis sehingga menangislah mereka yang bersamanya.

Itulah luka lama yang mendarahi hidung, dijadikan qasidah dan diulanginya.

Kami bawakan syair ini ialah untuk menghidupkan qasidah fuqaha' dakwah. Pengulangan ini juga akan menjadikan mereka yang memiliki hati yang benar akan sama-sama menangis.

Tetapi tangisan ini tidaklah boleh dikaitkan dengan tangisan kekecewaan dan putus asa, kerana adalah suatu keaiban kita menangisi tangisan yang dilarang oleh syarak. Begitu juga adalah satu kezaliman kepada generasi baru dakwah untuk kita menagisi dengan tangisan ini. Sedangkan kita melihat mereka mebuka pintu-pintu harapan dengan semangat yang tinggi, penuh niat dan keazaman untuk mencapainya. Sebaliknya ianya merupakan tangisan yang wajib lahir daripada fitrah setiap jiwa apabila menghadapi suasana yang menyedihkan bercampur dengan tangisan malu kepada Allah swt yang sentiasa memerhati.

Maha Suci Allah yang suka melihat kelopak mata hambanya yang berlinangan dengan airmata ketakutan selepas melakukan kesilapan.

Turunlah wahai saudara, siramilah mawarku. Sesungguhnya dihadapanmu terdapat tempat gelincir dan rintangan yang akan menghalangimu. Kelopaknya yang merah dibelai bayu iman, mengingatkan anda dengan adab-adab perjalanan di atas ... jalan ini....tunggu sambungannya

Pondok biru muncul semula



Azam awal hijrah 2008 pondok biru mesti diterangkan. Akhirnya walaupun penat, maklumlah tak pernah buat kerja berat pondok biru muncul kembali dan meniti dibibir orang kampung. Mereka hairan mengapa tiba-tiba ia terang setelah berpuluh tahun ditinggal sepi.





Pondok biru diselimuti semak samun. Sudah lebih 20 tahun ia ditinggalkan, tidaksiapa yang ambil peduli. Maklumlah semuanya sebuk dengan urusan masing-masing. Dulu disinilah semuanya berkumpul tambahan lagi bila musim buah menjelang. Tapi akhirnya ditinggal sepi.




Langkah bermula





Perjalanan ke Teratak biru mengambil masa 30 min dari Maran. Dari KL masuk LPT dan keluar di Maran. Selepas itu boleh mengambil simpang Bak Bak/Serengkam , terus sehingga ke Belimbing dan terus lagi sehingga bertemu teratak biru.

Hijrah kerana Mu Ya Allah




EPILOG

Kota Mekah tak pernah tidur .Di penghujung malam aku cepat-cepat menuruni tangga dari tingkat 4 hotel dan melangkah laju menuju ke Masjidilharam yang hanya di seberang jalan melalui pintu masuk tingkat atas di Bukit Marwah seolah-olah mengejar untuk bertemu yang dirindui, itulah rutin hidupku hampir setiap hari semasa di Mekah. Alhamdulillah Dia telah memberi kekuatan yang tak terbayang olehku. Aku amat gusar apabila diberi gambaran tentang kekalutan dan kesibukan di kota Mekah dan Madinah, seolah-olah tak mampu akan diharungi oleh orang insan daif seperti aku. Aku mencari tempat yang selesa untuk bertahajud, syukur, taubat, hajat dan witir. Aku pastikan tidak di belakang dan jauh dari wanita. Setiap kali azan pertama berkumandang penuh syahdu aku pasti selesai berwitir. Itulah masa untuk bertadarrus dan bermunajat kepadaNya. Sekali-sekala dalam solat dan bermunajat tanpa disedari mataku berkaca, basah dan terasa panas dipipi. Aku biarkan dia mengalir sepuas-puasnya. Aku bermunajat sepuas-puasnya dan tak pernah ku tinggalkan doa rabitah sambil terpancar seorang demi seorang sahabat-sahabat ditanah air.

Telah tertanam didalam diri ini semenjak kunjungan ke Tanah Suci setahun lalu. Sudah puas aku bermunajat ke hadapannNya untuk memohon petunjuk. Istiharah. Akhirnya jiwaku tenang sebening air di cawan. Aku pasrah kehadratNya. Bermulalah detik itu di pagi awal hijrah 2008.