Thursday, June 26, 2008

Usaha diteruskan

Sebelah jalan menghala ke Sungai Pahang

Akhirnya semua terang, insyaallah akan diteruskan walaupun perlahan-lahan




Langkah yang sudah bermula terpaksa diteruskan, tiada undur ke belakang. Walaupun bermacam cabaran terpaksa ditempuhi. Hutan sudah mula terang menampakkan sungai Pahang.

Friday, June 13, 2008

Bersatu Bukan Berpecah - Pesan Hassan Al Banna


Sedarlah (moga anda diberikan fahaman oleh Allah)! Pertama, dakwah Ikhwan al-Muslimin adalah dakwah untuk semua, bukan hanya untuk golongan tertentu sahaja. Dakwah ini juga tidak berpihak kepada mana-mana pendapat yang diketahui mempunyai corak tertentu atau ciri dan gaya tertentu. Dakwah ini tertumpu kepada soal asas agama. Kita mahu seluruh perhatian dan tumpuan dihala ke satu arah supaya segala usaha akan lebih bermakna dan lebih membuahkan hasil. Dakwah Ikhwan adalah dakwah yang putih bersih tanpa sebarang warna. Dakwah ini akan sentiasa bersama kebenaran walau di mana sahaja dan akan sentiasa inginkan perpaduan dan tidak mahukan perpecahan.

Malapetaka paling besar bagi umat Islam ialah perpecahan dan perselisihan. Faktor yang membantu kemenangan umat Islam pula ialah kasih sayang dan perpaduan. Generasi akhir ini hanya mampu dibaiki dengan menggunakan apa yang digunakan untuk memperbaiki generasi pertama. Ini adalah kaedah asas dan juga matlamat yang diketahui oleh setiap saudara seislam. Ia suatu yang kita yakini, kita perjuangkan dan kita seru.

Perbezaan pendapat pasti wujud

Dalam pada itu, kita meyakini perbezaan pendapat dalam sudut cabang agama adalah suatu yang pasti berlaku. Kita tidak mungkin boleh bersatu pendapat dalam sudut cabang, pendapat dan fahaman kerana beberapa faktor:

Salah satu faktornya ialah perbezaan keupayaan akal mencedok sesuatu hukum atau memahami sesuatu dalil dan menyelami secara mendalam sesuatu maksud. Setiap perkara saling berhubung kait. Agama ini berlandaskan ayat-ayat al-Quran, hadis dan nas sedangkan semua ini difahami oleh akal berdasarkan kaedah bahasa dan tatabahasa. Dalam perkara ini semua manusia amat-amat berbeza dan perbezaan pendapat sudah pasti tidak dapat dielak.

Faktor lain ialah keupayaan ilmu. Ada orang yang mencapai tahap ilmu yang jauh lebih tinggi daripada orang lain dan begitulah dengan yang lain. Imam Malik pernah berkata kepada Abu Jaafar: “Para sahabat Rasulullah s.a.w. telah bertaburan di seluruh muka bumi dan masing-masing mempunyai ilmu tersendiri. Jika engkau arahkan mereka supaya berpegang kepada satu pendapat, sudah tentu akan berlaku bencana.”

Satu lagi faktor ialah perbezaan tempat, di mana pelaksanaan sesuatu hukum akan berbeza mengikut perbezaan tempat. Anda sendiri lihat bagaimana Imam al-Shafie r.a. pernah memberi fatwa dengan mazhab lama (qadim) di Iraq tetapi memberi fatwa dengan mazhab baru (jadid) di Mesir. Dalam kedua-dua keadaan beliau berpandukan kepada fahaman dan apa yang beliau perolehi. Namun dalam kedua-dua keadaan beliau tetap berusaha mencari hukum yang sebenar dengan penuh teliti.

Faktor berikutnya ialah perbezaan dalam meyakini dan menerima sesuatu riwayat. Kita dapati seorang periwayat dianggap seorang yang dipercayai oleh seorang imam. Dalam masa yang sama dia dianggap tidak boleh dipercayai oleh imam yang lain berpandukan kepada pengetahuan imam itu tentang periwayat tersebut.

Faktor lain ialah perbezaan dalam menentukan kedudukan sesuatu dalil. Contohnya, ada di antara mereka yang mengutamakan amalan penduduk Madinah daripada hadis ahad dan ada pula yang tidak berpendapat sedemikian.

Sependapat dalam masalah cabang adalah mustahil

Semua faktor ini meyakinkan kita bahawa sependapat dalam sesuatu masalah cabang agama adalah mustahil. Malah bercanggah sama sekali dengan landasan agama ini. Allah mahukan agama ini sentiasa wujud dan kekal, selari dengan peredaran zaman. Untuk itu agama ini perlu bersifat mudah dan anjal, tidak jumud dan terlalu membebankan.

Maaf kepada yang tidak sependapat

Inilah yang kita yakini. Kita memohon maaf daripada sesiapa sahaja yang berbeza pendapat dengan kita dalam masalah cabang. Kita merasakan perbezaan pendapat ini tidak akan menjadi penghalang untuk kita menyatukan hati-hati manusia, saling berkasih sayang dan bekerjasama untuk kebaikan. Untuk kita berkongsi bersama ertikata Islam yang menyeluruh itu. Bukankah kita dan mereka adalah umat Islam? Bukankah kita mahu akur dengan hukum yang kita yakini dan begitu juga mereka? Bukankah kita dituntut supaya melakukan sesuatu yang disukai oleh saudara-saudara kita sama seperti kita suka melakukannya untuk diri kita sendiri? Jadi di manakah perselisihan sebenarnya? Kenapa pendapat kita tidak boleh mereka pertikaikan sepertimana pendapat mereka boleh kita pertikaikan? Kenapa kita tidak saling faham memahami dalam suasana yang harmoni jika ia suatu yang perlu?

Para sahabat Rasulullah s.a.w. sendiri saling berbeza pendapat ketika memberi fatwa. Apakah perkara ini menyebabkan hati mereka berpecah? Apakah perpaduan mereka atau ikatan sesama mereka berkecai? Demi Allah, tidak dan peristiwa sembahyang Asar di bani Quraizah menjadi contoh.

Jika mereka ini pun berbeza pendapat sedangkan mereka adalah orang yang paling hampir dengan zaman nubuwwah. Malah mereka adalah orang yang paling arif tentang perkara yang bersangkutan dengan sesuatu hukum. Kenapa pula kita berbalah tentang sesuatu perbezaan pendapat yang tidak penting? Jika para imam mujtahid; orang yang paling tahu tentang Kitab Allah dan sunnah rasul juga berbeza pendapat dan saling berdebat antara satu sama lain kenapa kita tidak boleh lakukan sebagaimana yang mereka lakukan? Jika perbezaan pendapat ini berlaku dalam masalah cabang yang paling masyhur seperti masalah azan yang dilaungkan sebanyak lima kali sehari walaupun terdapat banyak nas dan hadis yang berkisar tentangnya jadi kenapa pula timbul masalah dengan masalah kecil yang hanya dirujuk kepada pendapat dan cedokan manusia sahaja.

Ada satu lagi perkara yang perlu diperhatikan iaitu masyarakat dahulu apabila berlaku sebarang perbezaan pendapat, mereka akan merujuk kepada khalifah dengan syarat dia adalah imam mujtahid. Khalifah akan memutuskan perkara ini dan keputusannya akan menghentikan perbezaan pendapat ini. Namun sekarang di manakah khalifah? Dalam keadaan ini adalah lebih baik umat Islam merujuk masalah mereka kepada seorang hakim. Jika perbezaan pendapat mereka tidak dirujuk kepada mana-mana sumber, ia hanya akan menimbulkan perbezaan pendapat yang lain pula.

Ikhwan al-Muslimin amat memahami segala aspek ini. Oleh kerana itu mereka adalah orang yang paling bersikap terbuka dengan orang yang berbeza pendapat dengan mereka. Mereka melihat masing-masing ada ilmu dan masing-masing mungkin benar dan mungkin silap. Mereka akan mencari kebenaran dan akan berpegang dengan kebenaran. Mereka akan cuba dengan cara yang baik untuk meyakinkan orang yang berbeza pendapat dengan mereka untuk memahami pandangan mereka. Terserahlah kepada orang itu meyakininya. Jika tidak meyakininya mereka masih merasakannya sebagai saudara seagama. Kita memohon semoga kita semua mendapat hidayah.

Ini adalah pendekatan yang digunakan oleh Ikhwan al-Muslimin apabila berhadapan dengan orang yang berbeza pendapat dengan mereka dalam masalah cabang agama. Secara ringkasnya boleh saya katakan Ikhwan menerima perbezaan pendapat dan tidak menerima ketaksuban. Mereka akan berusaha mencari kebenaran dan akan mengajak manusia ke arah kebenaran dengan cara yang terbaik, lembut dan penuh kasih sayang.

Saturday, June 7, 2008

Harga minyak naik - Semua harga naik

Aku balik tenguk tanah tapak rumah, masih tak stabil lagi terpaksa dilewatkan pembinaan rumah ke bulan depan. Sedang berehat tenguk berita, tiba-tiba saja Dolah Badawi bagitau semua minyak naik. Aduh betapa pembohongnya dia dan para juak menterinya. Inikah pemimpim yang dipilih sangat oleh puak-puak tu. Alangkah ramainya pemimpin munafik. Hangpa tak takut langsung pada azab Allah. Baru minggu lepas dengar DD cerita pasai dajjal dah nak muncul kerana tasik kat Israel dah kering. Hangpa betul-betul tak takut Allah.

Besuknya aku dah tekena bahang minyak naik. Dulu kos tolak tanah untuk tanam sawit 1 ekar 1K, la ni dah jadi 1.2K jadi 6.5 ekar berapalah aku dah kena. Itulah akibat Dolah munafik dan juak menterinya punya kerja. Hangpa semuanya sama.

Ya Allah janganlah engkau biarkan kami diperintah oleh orang-orang yang zalim dan munafik, Kau gantilah dengan orang yang beriman dan beramanah. Aku yakin kepada janjimu.Perkenankan doa kami Ya Allah.

Bila tenguk buah manggis yang lebat berputik hati terubat juga

Sunday, June 1, 2008

KONVENSYEN TARBIAH - KONTARN08

KONTARN08 melabuhkan tirai ptg ni. Banyak input-input baru yang menerjah mindaku. Tapi mampukah aku membawanya. Adaakah aku mampu ikut apa yang diperturunkan oleh Pak Wahid dari PKS. Rasa teruja bila dibentangkan cara PKS mendapatkan mad'u baru. Tapi mampukan aku melaksanakan.
Jumpa YDP Pahang dan maklumkan hasrat nak pindah ke negeri jajahan takluknya. Kat tempat yang aku nak pindah tu takdak ahli. Terpaksalah aku menjadi peneroka, tak taulah mampukah aku memugar minda orang kampung yang sekian lama dijajah.
Ya Allah berilah aku kekuatan untuk menghadapinya. Aku Yakin kekuasaanmu, adakah aku perlu berundur? Aku pasrah pada MU.